Ugut Menteri Di Facebook, Penghantar Surat Didakwa

SUNGAI BESAR – Akibat perbuatannya memuat naik ugutan berunsur jenayah terhadap seorang menteri menerusi akaun Facebooknya pada Mac tahun lepas, seorang penghantar surat hari ini dihadapkan di Mahkamah Majistret Sabak Bernam di sini.

Mohd Noor Izwan Mohd Ibrahim, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mahmoodah V M Abdul Latiff.

Dia didakwa melakukan ugutan dengan memuat naik kandungan berunsur jenayah menggunakan akaun Facebook atas nama ‘Izwan Ibrahim’ kerana hendak mendatangkan kematian kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada kira-kira 2.30 petang, 13 Mac 2019 dan ugutan tersebut dibaca pada 27 Mac tahun sama di sebuah rumah di Taman Aman Fasa 2, Sabak Bernam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 506 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesalahan melakukan ugutan menakutkan secara jenayah manakala bagi ugutan hendak menyebabkan kematian, cedera parah atau kebinasaan harta dengan api, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Farah Ezlin Yusop Khan mencadangkan kepada mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Erni Ahmad daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM1,500 kerana ia merupakan tahap kemampuan tertuduh dan keluarganya.

“Tertuduh bekerja sebagai penghantar surat dan menanggung seorang isteri serta empat anak. Pendapatan kasarnya dan isteri sekitar RM2,000 sebulan maka kemampuannya untuk membayar jamin hanyalah RM1,500,” katanya.

Mahkamah membenarkan Mohd Noor Izwan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mac untuk sebutan semula kes.

Loading...