UEC Diiktiraf Bagi Peperiksaan PSAG

KUALA LUMPUR – Nampaknya usaha untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) semakin berhasil apabila ia kini sudah boleh diterima sebagai memenuhi syarat kelayakan di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tujuan menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG).

Pengerusi Lembaga Kelayakan Profession Undang-undang Malaysia, Tommy Thomas berkata, CLP akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ untuk tujuan tersebut mulai 1 Januari 2021.

“Selepas mesyuarat pada 8 Mac lalu, kita sebulat suara memutuskan syarat menduduki PSAG bagi pemegang sijil kelayakan UEC adalah lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran pada tahap Senior Middle 3 bermula 2021.

“Pemegang sijil kelayakan UEC ini juga perlu memperoleh sekurang-kurangnya lima kepujian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), O-Levels atau setarag yang diperoleh dalam satu peperiksaan yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Tommy menjelaskan syarat tersebut perlu terpakai kepada semua pelajar yang telah mendaftar bagi kemasukan program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang selepas pengumuman keputusan terdahulu pada 5 Jun lepas.

Katanya, perubahan itu dibuat sebagai maklum balas terhadap pelbagai cadangan daripada ramai orang dan pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada beberapa universiti di United Kingdom (UK) mengenai penerimaan UEC sebagai syarat kelayakan untuk kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang.

“Kita juga telah mendapatkan penjelasan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) berhubung tahap kelayakan UEC yang boleh diterima sebagai syarat kemasukan bagi mengikuti program ijazah di pelbagai universiti,” katanya. – UTUSAN ONLINE