Udara Di Brunei Ketiga Paling Bersih Di Dunia

BANDAR SERI BEGAWAN – Brunei melakar sejarah apabila tahap udara di negara kecil kaya minyak itu adalah yang ketiga paling bersih di dunia, lapor media tempatan di sini semalam.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan terbaharu Pemantauan Kesihatan Global 2017 mendedahkan, udara di kawasan perbandaran seluruh Brunei antara yang paling rendah tahap ketumpatan benda asing halus.

Tempat pertama untuk rekod udara paling bersih dipegang oleh Solomon Island, sebuah negara pulau kecil di Lautan Pasifik dengan kadar penarafan 5, diikuti pula New Zealand (5.2), Brunei (5.4) dan Australia (5.8).

Namun, meskipun Solomon Island mengungguli carta udara terbersih, negara tersebut ketinggalan jauh di belakang dari sudut petunjuk pembangunan terutama jangka hayat rakyat, proses rawatan kumbahan dan penghidap barah.

Pencemaran udara merupakan masalah besar sejagat dengan bertanggungjawab ke atas lebih 3.3 juta kematian di seluruh dunia setiap tahun, malah ukuran PM2.5 untuk tahap jerebu teruk dianggap faktor kerosakan terburuk.

Ia sering ditemui dalam habuk, asap dan pembakaran terbuka sehingga dikenal pasti sebagai penyebab utama kepada masalah penyakit berkaitan pernafasan antaranya asma dan radang paru-paru, menurut laporan WHO itu.

Bagimanapun Brunei berjaya mempunyai kualiti pencermaran udara di luar rumah paling rendah berbanding negara-negara jiran serantau yang mencatatkan kadar amat tinggi akibat asap ekzos kenderaan persendirian.

Brunei dalam pada itu juga diberi penarafan oleh banyak agensi antarabangsa sebagai tempat paling sesuai didiami di dunia, berjaya mengawal perlepasan karbon dan memulihara hutan di sebalik proses industri yang agak pesat.

Unit perisikan majalah berpengaruh antarabangsa Economist, malah memberi sijil kualiti udara bersih selain dinamakan WHO paling rendah maut akibat udara kotor iaitu sifar kematian daripada 100,000 penduduknya.

Laporan badan dunia itu turut meliputi lebih 100 buah negara yang mengkaji kadar ketumpatan PM2.5 sebagai petunjuk utama kematian disebabkan masalah pencemaran udara. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...