Ucapan Sulung Muhyiddin Sebagai PM Tarik Perhatian Rakyat

KUALA LUMPUR – Ucapan sulung Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini, menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia khususnya mengenai jaminannya membentuk barisan anggota jemaah menteri daripada kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber.

Rata-rata reaksi rakyat di media sosial menyifatkan ucapan itu sebagai sinar baharu dalam pentadbiran negara selain meletakkan harapan tinggi kepada Perdana Menteri dalam mengembalikan kepercayaan rakyat.

Pengguna Facebook, Hafizan Tok Moh berkata: “Alhamdulillah.. Tahniah TSMY Laksanakan tanggungjawab untuk rakyat dengan adil dan perbetulkan masalah negara kita ni.. Malaysiaku.”

Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook, Ibu Ida berkata: “Alhamdulillah.. tahniah TSM (Tan Sri Muhyiddin) menyelamatkan keadaan…laksanakanlah tanggungjawab dengan sebaiknya dan jagalah agama Islam juga.”

Ucapan Muhyiddin bertajuk ‘Rayuan Kepada Rakyat Malaysia’ yang disiarkan stesen-stesen televisyen, antara lain meminta rakyat Malaysia memberi peluang kepadanya memanfaatkan pengalaman luas beliau dalam politik dan kerajaan untuk mengemudi Malaysia ke arah kegemilangan.

Muhyiddin juga mengajak rakyat untuk bersama-samanya membina semula negara dan mengembalikan kegemilangan Malaysia.

Beliau turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah banyak berjasa kepada Malaysia.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menerusi Twitternya menyeru agar rakyat memberi peluang kepada Muhyiddin untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai perdana menteri.

“Ucapan YAB PM (Muhyiddin) memberi ‘comfort’ dan ‘feel good factor’ yang baik. Rakyat harus berikan PM peluang lakukan yang terbaik,” menurut ciapan di Twitternya.

Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha pula menyifatkan ucapan sulung itu sebagai harapan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat yang keliru susulan krisis politik negara baru-baru ini.

“Saya berharap beliau meneruskan reformasi institusi yang baik dalam memerangi rasuah serta salah guna kuasa habis-habisan,” katanya.

Loading...