Ubah Gaya Kerja, Cukuplah Stigma Orang Agama Lemah

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyeru pegawai dan kakitangannya mengubah gaya kerja berdasarkan konsep masa.

Mengangkat kata-kata Imam Syafie, beliau berkata, masa ibarat mata pedang.

“Kalau kamu tidak pancung, masa akan pancung kamu. Kalau lambat, pasti ketinggalan.

“Cukuplah stigma orang agama lemah, agensi agama lemah, tidak pandai urus tadbir… Itu bukan cara kita sekarang ini,” katanya ketika menyampaikan Tausiyah Am kepada kakitangan jabatan dan agensi agama bawah Kementerian di Jabatan Perdana Menteri di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Marzuk Shaary.

Beliau berkata, setiap individu perlu menerapkan budaya bekerja ke hadapan.

“Datang awal, punch card awal dan siap awal,” katanya.

Zulkifli turut menggesa jabatan dan agensi di bawahnya menepati masa.

“Sengaja saya tidak percepatkan dan melambatkan masa, seboleh-bolehnya saya ikut tepat masa.

“Janji pukul berapa, sebolehnya tunaikanlah melainkan takdir ALLAH SWT,” katanya.

Menurutnya, kemajuan dunia pada masa kini bersandarkan kepada kepantasan.

“Tanpa kepantasan, satu kelemahan berlaku. Buat tak ada hasil, malang kita sebagai Islam hendakkan keberkatan,” katanya.

Dalam ucapannya Zulkifli turut melahirkan hasrat untuk memberi penghargaan kepada pegawai dna kakitangan yang cemerlang setiap bulan.

“Setiap bulan jika dipanjangkan umur, saya akan diberi hadiah kepada pekerja melebihi sasaran tinggi,” katanya. – Sinar Harian

Loading...