Tutup MAPS: Pelaburan RM500 Juta Hangus – Najib

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menempelak Menteri Besar Perak susulan penutupan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) ketika sambutan Tahun Baru Cina dan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Penutupan taman tema itu, kata Najib, menyebabkan kurangnya tarikan pelancong di negeri Perak, selain ramai yang hilang pekerjaan semasa Gong Xi Fa Cai.

Ini turut membabitkan peniaga-peniaga berdekatan taman tema itu.

“Pelaburan RM500 juta kerajaan negeri juga “burned” (hangus),” kata Najib.

Secara sinis, bekas Perdana Menteri itu berkata, sebelum ini Ahmad Faizal Azumu membidasnya supaya jangan bimbang tentang pengurusan MAPS kerana kerajaan negeri itu boleh menguruskannya dan lebih baik Najib bimbang tentang masalah yang dihadapinya.

Menurut Najib, beliau sudah memberi amaran tentang perkara itu termasuk menyenaraikan masalah dan impak yang akan berlaku serta cadangan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh taman tema itu demi kerajaan negeri dan industri pelancongan Malaysia.

“Tapi saya dimaki dan disuruh jangan sibuk.

“Suruh saya jangan sibuk kerana PH kononnya bijak dan tahu apa yang mereka sedang buat,” katanya.

Agensi berita Bernama hari ini melaporkan taman tema MAPS , yang dibangunkan dengan kos RM520 juta, ditutup mulai hari ini sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Notis penutupan itu dikeluarkan oleh The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn. Bhd. (ATP), daripada Messrs Ernst & Young. – MalaysiaGazette

Loading...