Tutup 21 IPG, Ketua Pengarah Pendidikan Dituntut Jawab

KUALA LUMPUR – Sebanyak 21 Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara bakal ditutup tahun depan?

Justeru, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menuntut Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia membuat pengesahan berhubung laporan eksklusif akhbar Berita Harian semalam.

Katanya, jika menjadi kenyataan, penutupan itu tidak wajar sama sekali dan merupakan tindakan regresif Kementerian Pendidikan, memandangkan institut itu yang dahulunya dikenali Maktab Perguruan telah dinaik taraf pada 2005 dan 2006 serta bermulanya Program Pensiswazahan Guru di IPG.

“Akhbar Berita Harian hari ini mendedahkan berkenaan cadangan penutupan 21 IPG di seluruh negara dan pengesahan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia sendiri mengenainya.

“Dijelaskan, 10 daripadanya akan dijadikan pusat latihan dalam perkhidmatan dan ‘co-exist’ dengan Kolej Vokasional dan Politeknik, manakala 11 lagi akan dijadikan Institut Latihan Awam atau untuk tujuan lain.

“Berbaki hanya enam IPG sahaja yang dikekalkan fungsi asalnya untuk melatih bakal guru sekolah rendah yang dikelolakan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM),” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Akhbar arus perdana itu melaporkan, sebanyak 21 dari 27 IPG di seluruh negara dicadang ditutup secara berperingkat mulai tahun depan.

Serentak itu, tahun ini difahamkan menjadi tahun terakhir pengambilan penuntut oleh 21 IPG terbabit.

Selepas ini, hanya enam kampus IPG dikatakan akan terus beroperasi dengan tanggungjawab lebih besar bagi melatih bakal guru diberikan kepada universiti awam (UA).

Pengumuman terperinci mengenai perkara berkenaan dijangka dibuat pada pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada 11 Oktober ini.

Menurut Dr. Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, sejak dari itu, IPG telah memberikan sumbangan yang besar terhadap peningkatan profesionalisme keguruan dan kualiti pendidikan di negara ini.

Ujar beliau, banyak tenaga pengajar dan guru berpengetahuan luas serta berkemahiran tinggi telah dilahirkan oleh institusi ini.

“Kementerian Pendidikan perlu segera menjelaskan status dan perkembangan sebenar cadangan ini memandangkan ia melibatkan masa depan sektor pendidikan negara dan penyertaan generasi muda terutama dalam kalangan orang Melayu sebagai guru,” katanya. – MalaysiaGazette

Loading...