Turun Harga Minimum Rumah Warga Asing Bukan Cadangan KPKT

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata cadangan untuk menurunkan harga minimum hartanah yang boleh dibeli warga asing – seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 – bukan daripada kementeriannya.

“Ramai yang tidak jelas, ingat ini bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)… Ia cadangan dari Kementerian Kewangan.

“Dulu perkara ini bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU), sekarang Kementerian Kewangan yang buat pengumuman,” katanya kepada pemberita ketika program di Tanjung Piai, Johor hari ini.

Antara kritikan terhadap Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat lalu ialah penurunan harga minimum bagi hartanah untuk warga asing.Iklan

Ia juga antara cadangan yang tidak dipersetujui pembaca Malaysiakini, berdasarkan undian Belanjawan 2020.

Zuraida berkata beliau akan berbincang dengan Kementerian Kewangan berkenaan perkara itu, jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

“Saya akan rujuk dengan Kementerian Kewangan untuk lihat balik perkara ini dan pertimbangkan semula, jika perlu,” katanya.

Hari ini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan bahawa penurunan itu hanya untuk unit kondominium sedia ada yang tidak terjual dan tidak akan meliputi projek-projek baru.

Katanya, usaha di peringkat kementeriannya hanyalah berkenaan mewujudkan pakej Malaysia-MySecond Home (MM2H) yang lebih menarik kepada warga asing, untuk membeli hartanah mewah yang belum terjual.

Kerajaan cuba menangani isu hartanah mewah yang tidak terjual tetapi Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) membantah sebarang campur tangan kerajaan.

Menurut HBA, pemaju patut menurunkan harga dan campur tangan kerajaan boleh membuatkan syarikat terus membina hartanah mewah yang tidak mampu dibeli rakyat Malaysia.

Terdahulu, Zuraida memantau beberapa projek di bawah kementeriannya di Tanjung Piai.

Katanya, projek tersebut dimohon oleh Allahyarham Md Farid Md Rafik, bekas anggota parlimen di situ, dan telah diluluskan.

Beliau berkata projek itu bukan sempena PRK Tanjung Piai kerana telah diluluskan, dan kehadirannya hari ini hanya untuk memastikan projek tersebut diteruskan walau selepas ketiadaan Farid.

Farid, 42, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia akibat serangan jantung, 21 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan 2 November untuk hari penamaan calon dan 16 November untuk hari mengundi. – MalaysiaKini

Loading...