Turki Pecat Lebih 6,000 Staf Awam Antikerajaan

ISTANBUL – Turki memecat lebih 6,000 anggota polis, penjawat awam dan ahli akademik dalam surat perintah yang dikeluarkan di bawah undang-undang darurat pada Jumaat, lapor akhbar Hurriyet, hari ini.

Akhbar itu melaporkan, tiga perintah undang-undang mengarahkan pemecatan 2,687 anggota polis, 1,699 pegawai Kementerian Kehakiman, 838 kakitangan Kementerian Kesihatan, 649 ahli akademik dan 135 pegawai hal ehwal agama adalah usaha pembersihan susulan percubaan rampasan kuasa yang gagal pada Julai tahun lalu.

Susulan itu Parlimen yang dikuasai Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) bakal mengundi minggu ini untuk melanjutkan perintah darurat tiga bulan lagi dalam usaha melakukan pembersihan penyokong ulama Turki, Fethullah Gulen yang kini hidup dalam buangan di Amerika Syarikat (AS).

Turki menuduh Gulen dan rangkaian penyokong Pertubuhan Keganasan Gulenist (FETO) menjadi dalang cubaan rampasan kuasa pada 15 Julai tahun lalu tetapi Gulen menafikan dakwaan itu.

Perintah darurat membolehkan kerajaan mendahului Parlimen dalam menggubal undang-undang baharu dan mengehad atau menyekat hak dan kebebasan apabila perlu.

Kaedah itu dilaksanakan selepas cubaan rampasan kuasa dan kemudian dilanjutkan untuk tempoh tiga bulan buat kali kedua pada Oktober tahun lalu. – Reuters

Loading...