Tuntutan Palsu: 12 Pegawai Belia & Sukan Direman

JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret, di sini hari ini, membenarkan permohonan reman terhadap 12 pegawai belia dan sukan di negeri ini bagi bantu siasatan berhubung tuntutan palsu melebihi RM90,000, tiga tahun lepas.

Majistret Siti Hajar Ali membenarkan reman terhadap kesemua mereka termasuk tiga wanita selama lima hari bermula hari ini selepas permohonan dikemukakan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Anis Redza Muhamad Anuar.

Perintah tahanan reman ke atas mereka yang berumur lingkungan 30-an dan 50-an itu, bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Semalam, 15 pegawai belia dan sukan yang bertugas di Pejabat Belia dan Sukan Daerah negeri ini ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor, di sini, kira-kira 12 tengah hari, berhubung tuntutan palsu berkenaan.

Bagaimanapun, tiga daripada mereka iaitu seorang lelaki dan dua wanita dibebaskan dengan jaminan SPRM, semalam.

Menurut sumber SPRM, susulan siasatan yang dibuat 1 Okt lepas, kesemua mereka didapati telah bersubahat dengan kontraktor-kontraktor dengan membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjuran Program Liga Sukan.

Ia melibatkan penganjuran liga sukan di lapan daerah iaitu di Ledang, Mersing, Muar, Batu Pahat, Kulai, Pontian, Kluang, dan Kota Tinggi bagi tahun 2015, namun program berkenaan didapati tidak dilaksanakan.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi semalam mengesahkan tangkapan tersebut. – BERNAMA