Tunjuk Perasaan Di Hong Kong Makin Ganas

HONG KONG – Penunjuk perasaan prodemokrasi di Hong Kong terus mencetuskan kekecohan termasuk menembak anak panah ke arah polis, menyekat laluan jalan raya serta mengganggu sistem pengangkutan.

Protes ganas di hab kewangan terbabit kini memasuki bulan keenam dan kebanyakannya disertai golongan pelajar yang berpakaian hitam dan bertopeng.

Sepanjang protes berleluasa, bandar dihuni 7.5 juta penduduk itu menyaksikan sekatan jalan raya menggunakan batu-bata dan buluh, gangguan perkhidmatan stesen metro dan bas selain penutupan sekolah dan universiti.

Meskipun rang undang-undang ekstradisi yang menjadi punca tercetusnya protes pada Jun lalu telah dibatalkan, namun penunjuk perasaan prodemokrasi yang bimbang kebebasan semakin terhakis di bawah pentadbiran Beijing masih meneruskan bantahan.

Mereka turut menuntut keadilan terhadap pihak polis yang dituduh menggunakan kekerasan melampau ketika menangani protes.

Sementara itu, insiden keganasan semakin memuncak pada minggu ini menyebabkan beberapa orang berada dalam keadaan kritikal dan puluhan yang lain cedera.

Terbaharu, pihak polis dilaporkan melepaskan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan berhampiran Universiti Politeknik Hong Kong awal pagi ini.

Menerusi muat naik di laman Facebook, pihak polis menuduh penunjuk perasaan menembak anak panah terhadap anggotanya yang berkawal di kawasan berkenaan.

Penunjuk perasaan kini menggunakan pelbagai senjata baharu buatan sendiri selain anak panah yang dicuri dari kedai sukan bagi menentang polis yang menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah. – Agensi

Loading...