“Tunggu Masa Sesuai Beritahu Isteri”

IPOH – Bapa tiga kanak-kanak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara petang semalam seboleh-bolehnya mahu merahsiakan kematian itu daripada isterinya.

Muhammad Alhafis Mohamad, 29, berkata, isterinya Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, masih belum sedarkan diri dan belum mengetahui nasib menimpa ketiga-tiga anak mereka. 

“Bila isteri sudah sedar, mungkin saya akan tunggu masa yang sesuai untuk beritahu mengenai kematian anak-anak… seboleh-bolehnya saya tak nak beritahu dulu,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini. 

Dia yang kelihatan lemah ditenangkan dan dipapah ahli keluarga ke bahagian ruang pekarangan forensik.

Keadaan lebih sayu, apabila kedengaran tangisan Muhammad Alhafis dan ahli keluarga yang tidak mampu menahan sebak atas pemergian ketiga-tiga mangsa.

“Saya minta maaf… saya minta maaf… semua dah tiada,” luah Muhammad Alhafis.

Suasana pilu menyelubungi Jabatan Forensik HRPB apabila keluarga hadir menunggu proses bedah siasat ketiga-tiga jenazah bermula jam 2 petang.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3 petang itu, Nur Aimi Nadiah parah, manakala tiga anaknya, Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, maut di lokasi kejadian selepas Perodua Axia dipandu terbabas dan melanggar belakang treler di laluan kecemasan.

Kemalangan membabitkan kereta dan dua lori di Kilometer 272.5 PLUS arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang dekat Ipoh, Perak.

Kemalangan berpunca daripada Perodua Axia terbabas sendiri lalu melanggar belakang treler yang berada di lorong kecemasan.

Sementara itu Muhammad Alhafis menafikan dakwaan bahawa Nur Aimi Nadiah ke Melaka atas urusan mahkamah bagi menyelesaikan isu peribadi antara mereka, sebaliknya isterinya itu datang bercuti. 

“Bukan urusan mahkamah, dia memang bercuti dan berjumpa dengan saya atas urusan keluarga, saya memang tinggal dan bekerja di Melaka,” katanya.

Menurutnya, jenazah tiga anaknya akan dibawa pulang dan dikebumikan di Kampung Sungai Putat, Melaka. – BH Online