Tunang Pemandu Perodua Myvi Didenda RM3,300

JOHOR BAHRU – Tunang pemandu wanita yang menyebabkan kematian seorang anggota tentera dalam kemalangan Sabtu lalu, dijatuhi hukuman denda RM3,300 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Lelaki berkenaan mengaku bersalah atas tiga pertuduhan iaitu membenarkan tunangnya memandu kereta tanpa lesen, cukai kenderaan tamat tempoh dan kenderaan tiada insurans, Sabtu lalu.

Majistret Suhaila Shafi’uddin membuat keputusan itu selepas tertuduh, Nuraiman Fathi Mohd Zukki, 23, yang juga pekerja kilang, mengaku salah atas ketiga-tiga pertuduhan itu yang dibacakan secara serentak.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung selama setahun serta penjara 13 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. 

Mengikut pertuduhan pertama, Nuraiman dituduh membenarkan tunangnya, Nur Fatin Nasrah Suhaimi, 23, yang tidak mempunyai lesen memandu sah, memandu kereta miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lampu isyarat Kilometer 4, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi pada 8.24 pagi, 10 Oktober lalu.

Nuraiman didakwa mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 26(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 dan penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membenarkan tunangnya memandu kereta miliknya yang tamat tempoh cukai jalan di tempat dan masa sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1) APJ 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, Nuraiman dituduh membenarkan tunangnya memandu kereta miliknya yang tidak ada perlindungan insurans seperti dikehendaki di bawah Bahagian IV APJ 1987 (Akta 333/87) di tempat dan masa sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 90(1) APJ 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 90(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Noridayu Md Kassim. – myMetro Online

Loading...