Tular 2 Rakaman Video Polis Pukul Remaja Lelaki

IPOH – Dua rakaman video mengenai seorang anggota polis trafik bermotosikal memukul seorang remaja lelaki di Jalan Persiaran Brash berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, tular di media sosial sejak semalam.

Menerusi dua rakaman video masing-masing berdurasi 29 dan 25 saat itu, perakam video berkenaan bertindak mengecam tindakan polis itu yang dilihat sedang memukul remaja terbabit. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby tampil memberikan penjelasan dan beliau berkata, kejadian tersebut berlaku ketika Op Bersepadu Samseng Jalanan sedang dijalankan di kawasan berkenaan. 

“Kejadian tersebut berlaku pada pukul 6.35 petang apabila dua anggota polis yang dilihat dalam rakaman video itu diarahkan menghala ke Persiaran Brash. 

“Tiba di lokasi kejadian, mereka berdua menyalakan lampu beacon dan membunyikan siren agar kenderaan yang datang dari arah hadapan berhenti,” katanya ketika dihubungi. 

Tambah Mohd. Ali, selepas beberapa kenderaan berhenti, dua buah motosikal secara tiba-tiba datang dari arah bertentang dengan laju dan menunggang secara zig-zag serta berbahaya menuju ke arah mereka lalu melanggarnya. 

“Akibatnya, dua anggota tersebut terjatuh dari motosikal sebelum mereka segera turun dari kenderaan itu untuk membuat tangkapan. 

“Dua penunggang motosikal itu bagaimanapun bertindak agresif dan cuba melarikan diri namun kedua-duanya berjaya ditahan dengan bantuan anggota trafik lain,” katanya. 

Katanya, dua penunggang tersebut merupakan remaja lelaki yang berusia 17 tahun dan saman terhadap mereka telah dikeluarkan atas beberapa kesalahan lalu lintas termasuk mengubahsuai kenderaan, tiada lesen memandu dan memotong secara bahaya. 

“Ujian saringan awal air kencing mendapati mereka negatif dadah dan mereka berdua dibenarkan pulang selepas keterangan diambil,” katanya.