Tulang Wanita Ditemui Di Ladang Getah Terbiar Uniten

SEPANG – Tulang manusia dipercayai milik seorang perempuan ditemukan oleh seorang juruukur di sebuah kawasan hutan ladang getah terbiar di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Dato Abu Bakar Baginda di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, pekerja terbabit dikatakan menemui mayat berkenaan ketika membuat kerja-kerja pengukuran tanah di seluruh kawasan universiti terbabit.

Difahamkan, tempat kejadian adalah dalam anggaran jarak satu kilometer dari padang ragbi dan kira-kira 30 meter dari jalan tanah merah berdekatan pencawang eletrik.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, juruukur itu bersama rakannya sedang mengukur kawasan berkenaan apabila dia terlihat selipar, pakaian dan bantal di salah satu check point.

“Dia kemudiannya menghampirinya dan menjumpai beberapa tulang besar dibalut dengan selimut yang disyaki tulang manusia,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, mayat mangsa dipercayai ditinggalkan di lokasi berkenaan kira-kira setahun sebelum ditemui.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai bersama mangsa.

“Barangan milik mangsa yang ditemui di tempat kejadian termasuklah sebentuk cincin, gelang, jaket berwarna gelap, pengikat rambut dan sepasang selipar bersaiz enam.

“Antara barangan lain yang masih berada di hospital adalah tali pinggang bewarna hitam, pakaian dalam serta sehelai selimut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu diminta tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi terus pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Wan Azirul di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di talian 03-8777 4222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Loading...