Tuduhan Kes Rogol Exco Perak Di Tangan Peguam Negara

SIASATAN pertuduhan rogol yang dibuat ke atas exco kerajaan negeri Perak, Paul Yong kini di tangan peguam negara, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

“Semua dengan peguam negara, keputusan, arahan akan datang dari peguam negara,” katanya kepada wartawan setelah ditemui sebelum majlis pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Hamid diminta menguls mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan. Laporan polis terhadap Yong dibuat pada 8 Julai lalu.

Wakil rakyat DAP itu dituduh merogol pembantu rumahnya yang berasal dari Indonesia. ADUN Tronoh itu walau bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan.

Yong tampil secara suka rela di balai polis Jepalang pada 9 Julai untuk membantu siasatan dan ditahan seketika oleh polis. Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Yong terus memegang jawatan sebagai exco Perak yang bertanggungjawab ke atas perumahan, kerajaan tempatan, pengangkutan awam, urusan bukan Islam dan kampung-kampung baru tetapi Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, peranannya membuat keputusan itu terhad sementara menunggu polis selesai menjalankan siasatan.

Kes itu juga menarik perhatian kedutaan Indonesia. – Malaysiakini

Loading...