Tuduhan Kerajaan Campur Tangan Kes Najib Perlu Bukti – Anwar

KUALA LUMPUR – Pihak yang menuduh kononnya kerajaan campur tangan dalam kes mahkamah Datuk Seri Najib Razak perlu mengemukakan bukti.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tanpa bukti atau fakta, rakyat perlu menolak tuduhan itu.

“Saya tidak fikir kita harus melayan beberapa tuduhan melainkan jika mereka boleh memberikan beberapa fakta atau bukti untuk menyokong.

“Sepatutnya, kita harus membenarkan supaya proses (mahkamah) yang patut (sedang berjalan ini) diteruskan,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, hakim sudah membuat keputusan memanggil Najib untuk membela diri, seharusnya proses itu dituruti.

“Saya tidak mahu masuk campur (berhubung keputusan mahkamah). Tapi ada keputusan hakim untuk minta Najib bela diri, maknanya proses undang-undang masih berterusan,” katanya.

Anwar mengulas dakwaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, kononnya wujud campur tangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dalam kes pecah amanah dan salah guna kuasa yang dihadapi Najib.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Najib membela diri terhadap tujuh tuduhan membabitkan pecah amanah dan salah guna kuasa selepas mendapati wujud prima facie pada akhir kes pendakwaan.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata semua pihak tidak wajar membuat pertimbangan sendiri berhubung keputusan mahkamah, apatah lagi kes itu masih belum berakhir.

Beliau juga berkata, keputusan mahkamah meminta Najib membela diri bukan menunjukkan Ahli Parlimen Pekan itu sudah didapati bersalah.

“Bela diri bukan bermakna didapati bersalah, selepas mahkamah memutuskan untuk panggil bela diri, Najib boleh bela diri secara keterangan bersumpah, iaitu boleh bersoal balas dengan wakil pendakwa.

“Malah, dia (Najib) boleh panggil saksi beliau. Kalau dulu hanya saksi pendakwa dan keputusan hakim berdasarkan kenyataan saksi pendakwa.

“Sekarang ini Najib boleh panggil saksi pembela,” katanya. – BH Online

Loading...