TUDM Beli Aset Untuk Jadi Kuasa Udara Dominan

LABUAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bertekad mempertingkatkan aset bagi menjadikannya sebuah kuasa udara yang dominan.

Panglima TUDM, Jen. Datuk Seri Affendi Buang berkata TUDM sentiasa mempunyai pelbagai idea dan kaedah untuk mendapatkan keperluan serta penambahbaikan aset terbaik.

Beliau berkata TUDM antara lain turut merancang untuk membeli pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA).

“Apa yang TUDM ada sekarang antaranya seperti pesawat pejuang Sukhoi, Hawk dan FA 18 Hornet yang mana TUDM akan mempertingkat kemampuan dan juga menentukan keupayaan pesawat berkenaan tidak menurun.

TUDM Beli Aset Untuk Jadi Kuasa Udara Dominan
Pesawat Pejuang Sukhoi.

“Ini akan memperlihatkan aset TUDM sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk operasi yang akan diberikan dengan menunjukkan kecekapan dan kesediaan TUDM dalam menjaga ruang udara angkasa negara,” katanya kepada pemberita pada Hari Bersama Media sempena sambutan Hari TUDM Ke-59 di sini.

Affendi berkata dengan keadaan geopolitik dan geostrategik semasa, ia memerlukan ketumbukan kuasa udara yang mantap dan boleh dilancarkan di barisan hadapan negara.

“Kuasa udara TUDM boleh menjadi aspek keseimbangan dalam menentukan keselamatan dan kestabilan negara yang sentiasa dipantau dan dipelihara oleh TUDM daripada anasir luar yang ingin menceroboh ruang udara negara ini,” katanya. – BERNAMA

Loading...