Trump Pilih Malpass Calon Presiden Bank Dunia

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu mengumumkan bahawa beliau telah memilih David Malpass, timbalan setiausaha bagi hal ehwal antarabangsa di Jabatan Perbendaharaan AS, sebagai calon negara itu bagi mengisi jawatan presiden Bank Dunia, lapor agensi berita China Xinhua memetik satu kenyataan.

Menyifatkan Malpass sebagai “seorang yang amat luar biasa,” Trump dalam satu kenyataan di Rumah Putih menyebut bahawa beliau telah melancarkan satu “pencarian meluas bagi mencari pengganti”Jim Yong Kim, bekas pemimpin Bank Dunia yang secara tiba-tiba meletak jawatan pada awal Januari dan mengundurkan diri pada Jumaat.

“Saya tahu David (Malpass) adalah orang yang tepat bagi mengisi jawatan yang amat penting ini,” kata Trump.

Presiden itu berkata Malpass “merupakan seorang penyokong kuat bagi akauntabiliti di Bank Dunia,” dan beliau “telah berjuang bagi memastikan pembiayaan difokuskan pada tempat serta projek yang sememangnya memerlukan bantuan, termasuk penduduk yang hidup dalam keadaan miskin tegar.”

Malpass perlu mendapat kelulusan lembaga pengarah eksekutif Bank Dunia bagi mengetuai badan pemberi pinjaman pembangunan antarabangsa itu.

Berikutan kenyataan Trump, Malpass yang telah mengkritik Bank Dunia sebelum ini, mengucapkan terima kasih kepada presiden tersebut kerana memilih beliau untuk mengetuai “institusi pembangunan utama dunia itu.”

Dengan mengetengahkan isu peningkatan modal sebanyak US$13 bilion serta pembaharuan lain yang telah disokong oleh pemegang saham pada April 2018, Malpass berkata “dengan pemegang saham dan kakitangan yang berdedikasi, badan dunia itu kini memiliki berpeluang melaksanakan semua pembaharuan konstruktif yang bakal membawa pertumbuhan lebih pantas dan kemakmuran lebih besar.”

Beliau berkata matlamat utama ialah bagi memastikan bahawa golongan wanita mencapai penglibatan penuh dalam usaha membangunkan ekonomi.

Calon yang dipilih Washington, pemegang saham terbesar Bank Dunia dengan 16 peratus kuasa mengundi, biasanya akan mengambil alih jawatan sebagai pemimpin institusi itu sejak penubuhannya pada 1944.

Tradisi yang diamalkan sejak sekian lama itu telah menyebabkan kredibiliti organisasi tersebut dipersoal, memandangkan jumlah sumbangan pasaran negara membangun dan pertumbuhan ekonomi global jauh lebih besar berbanding negara maju sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bermula Khamis, lembaga pengarah eksekutif Bank Dunia akan menerima pencalonan sehingga 14 Mac dan memilih pemenang bagi mengisi jawatan presiden menjelang mesyuarat Musim Bunga Bank Dunia dan IMF, yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 14 April di Washington. – BERNAMA

Loading...