Trump Enggan Dengar Pita Rakaman Pembunuhan ‘Ngeri’ Khashoggi

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau enggan mendengar satu rakaman audio pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi walaupun berdepan kritikan meningkat supaya menghukum negara pentadbiran diraja itu atas insiden terbabit.

Khashoggi dibunuh dalam konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki 2 Oktober lalu dan negara itu memberi kerajaan AS rakaman pembunuhan wartawan berkenaan, namun Trump berkata, beliau tidak mahu mendengarnya kerana ‘ia adalah pita kesengsaraan, pita mengerikan.’

“Saya tidak mahu mendengar pita itu, tiada alasan untuk saya mendengarnya. Saya tahu segala-galanya yang berlaku dalam pita itu tanpa mendengarnya. Ia amat ganas, amat kejam dan teruk,” katanya dalam wawancara dengan Fox News semalam.

Trump juga berkata, beliau mahu mengekalkan pakatan rapat dengan Arab Saudi walaupun pembunuhan Khashoggi dan mempersoalkan dakwaan peranan Putera Mahkota Mohammed bin Salman atau Mbs, pemerintah de facto pentadbiran diraja terhadap insiden itu.

“Beliau memberitahu saya, dirinya tiada kaitan,” kata Trump menambah, ‘ramai orang’ mengatakan, putera mahkota itu tidak mengetahui pembunuhan terbabit.

Wawancara itu dirakam Jumaat lalu, beberapa jam sebelum sumber kerajaan berkata, Agensi Perisikan Pusat (CIA) memberi taklimat kepada pentadbiran Trump berkaitan pembunuhan itu dan percaya MbS mengarahkannya.

Presiden AS itu berkata kelmarin, penilaian CIA ‘masih terlalu awal’ dan dalam wawancara disiarkan semalam, mengatakan berkemungkinan tidak diketahui siapa yang mengarahkan pembunuhan Khashoggi.

Trump berdepan tekanan hebat daripada pembuat dasar kanan Demokrat dan Republikan untuk mengambil pendirian tegas ke atas Arab Saudi, sesetengah berkata, beliau seharusnya menggantung jualan senjata kepada negara berkenaan dan menggugurkan sokongan terhadap MbS namun setakat ini menolaknya.

Khamis lalu, pentadbiran Rumah Putih melaksanakan sekatan ekonomi ke atas 17 pegawai Arab Saudi atas dakwaan peranan mereka dalam pembunuhan itu namun tidak menyasar kerajaan. – Reuters/BH ONLINE

Loading...