Trump Dakwa Sudah Menang Pilihan Raya Presiden AS

WASHINGTON – Di sebalik keputusan tidak lengkap melibatkan beberapa negeri penting yang bakal menentukan hala tuju Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2020, Presiden Donald Trump mendakwa sudah menang ke atas pencabarnya dari parti Demokrat, Joe Biden, awal pagi Rabu (waktu tempatan).

“Sejujurnya, kita sudah menang,” kata Trump kepada penyokongnya di Rumah Putih, Washington sebentar tadi.

“Setakat saya tahu, kami sudah memenangi pilihan raya.”

Bagaimanapun, keputusan pilihan raya di beberapa negeri kritikal seperti Pennsylvania, Winconsin, Michigan dan Georgia, masih kabur dengan jangkaan beberapa stesen media dan Edison Research menunjukkan Trump masih belum cukup 270 undi elektoral yang diperlukan untuk mengekalkan jawatannya.

Trump turut mengatakan ‘terdapat sekumpulan pihak menyedihkan’ cuba untuk mengenepikan jutaan penyokongnya yang telah mengundi beliau, tanpa menunjukkan sebarang bukti kukuh. – Agensi