Trump Arah Pentagon Tubuh Tentera Angkasa AS

PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump mengarahkan ibu pejabat Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Pentagon untuk menubuhkan ‘tentera angkasa’ sebagai cawangan keenam tentera Amerika Syarikat (AS).

Lapor CBS News, Trump mengumumkan tentera angkasa ketika permulaan mesyuarat ketiga sebuah badan penasihat yang diketuai Naib Presiden Mike Pence, Majlis Angkasa Nasional di White House, AS semalam.

Penubuhan tentera angkasa itu sebagai satu inisiatif untuk mengurus dan memantau peningkatan bilangan satelit serta keadaan di angkasa lepas.

“Saya mengarahkan Jabatan Pertahanan dan Pentagon supaya memulakan proses untuk menubuhkan tentera angkasa sebagai cabang keenam angkatan tentera.

“Kita ada tentera udara dan kita juga akan mempunyai tentera angkasa berasingan tetapi sama tahap. Dalam mempertahankan Amerika, kewujudan AS di angkasa sahaja tidak mencukupi, kita mesti mendominasi angkasa,” katanya semasa memberi ucapan.

Serentak itu, Trump memuji Majlis Angkasa Negara dan anggotanya atas tugas untuk memfokuskan perihal ruang angkasa berdasarkan dasar kebangsaan supaya lebih terkedepan.

Ruang angkasa adalah elemen penting dalam operasi ketenteraan AS bagi menyediakan perisikan berasaskan satelit, keselamatan komunikasi, ramalan cuaca dan kawalan pensenjataan.

Bagaimanapun, Trump tidak memberikan butiran lebih lanjut cabang keenam angkatan tentera itu, tetapi keputusan ini akan menjadi usaha besar yang memerlukan perdebatan dan sokongan kongres.  MYNEWSHUB.CC/MIZE