Trend Mengembara Kini Beralih Kepada Secara Digital

KUALA LUMPUR – Pengembaraan khusus mengikut pilihan individu kini semakin mudah dan menjadi trend terutama dalam kalangan generasi muda susulan ledakan digital yang membolehkan pengumpulan maklumat perjalanan secara dalam talian boleh dilakukan di hujung jari termasuk tempahan penerbangan dan hotel.

Kemudahan secara dalam talian itu bukan hanya membolehkan individu membuat penyesuaian keperluannya yang lebih khusus malah membantu mereka berjimat, terutama bagi pengembara solo muda.

Pengembara, Muhammad Haikal Idham, 28, yang berkerja dalam bidang perfileman berkata beliau lebih gemar membuat itinerarinya sendiri, sama ada untuk bekerja atau melancong.

“Ada banyak tempat yang tidak boleh kita sampai jika memilih khidmat agensi pelancongan namun dengan sedikit elemen kembara dan bantuan sistem kedudukan global (GPS) yang ada pada telefon, perjalanan kita akan menjadi lebih mudah,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata, generasi yang lebih berusia masih gemar memilih khidmat agensi pelancongan.

“Ini kerana ia menawarkan keselesaan yang diperlukan malah apabila bercuti bersama keluarga, saya akan menempah dengan agensi pelancongan untuk memastikan semuanya baik dan teratur,” katanya.

Berdasarkan kajian Zion Market Research bertajuk ‘Online Travel Booking Market by Service Type’, pasaran tempahan perjalanan dalam talian global bernilai hampir US$765 bilion pada 2017 dan dijangka menjana US$1.955 trilion menjelang 2026.

“Industri pelancongan dan sektor tempahan hotel dalam talian kini mengalami transformasi besar-besaran, kebanyakan disebabkan kemajuan teknologi dan aliran digital.

“Kecanggihan teknologi yang pesat, seperti peranti mudah alih seperti telefon pintar, tablet dan komputer riba, sentiasa ditambah baik dengan ciri-ciri terkini,” menurutnya dalam kajian itu.

Aliran itu bukan hanya dilihat berlaku di Malaysia malah di seluruh dunia memandangkan generasi muda tidak gemar dihadkan oleh itinerari khusus.

Laman kembara dalam talian seperti Traveloka, Klook dan KKday membolehkan pengguna memilih apa yang mereka ingin lakukan sepanjang percutian, manakala laman seperti Agoda dan Skyscanner pula membolehkan pengguna menempah hotel dan tiket penerbangan pada kadar harga yang lebih rendah.

Menurut kajian ‘Solo Travel Trends 2018′ oleh Agoda, pengembara solo Asia merupakan yang paling ramai terhubung secara digital dan lebih dua kali ganda berkemungkinan memperuntukkan empat atau lebih jam sehari di hadapan skrin berbanding mereka yang berada di barat (31 peratus berbanding 12 peratus).

Kajian itu juga mendapati Malaysia merupakan destinasi kedua paling popular dalam kalangan pengembara solo Asia, di belakang Bangkok dan diikuti Tokyo, Singapura dan Hong Kong.

“Bandar raya ini mempunyai banyak tarikan bagi memastikan jadual pengembara solo sentiasa padat, daripada membeli-belah hingga aktiviti pada sebelah malam, budaya dan makanan,” menurutnya. – BERNAMA

Loading...