Tragiknya Tahap Desparado Cinta Pengguna IG

TEKNOLOGI komunikasi menjadi penjana utama dalam era revolusi penyelarasan keputusan. Ia menjadikan proses membuat keputusan lebih pantas dan efisien. Ini sumbangan terbesar komunikasi gajet dalam peradaban ekonomi moden.

Selain menyumbang pada keperluan yang komunikatif dalam meningkatkan daya saing keputusan bagi tujuan ekonomi, limpahan kemakmuran IT dinikmati secara mewah dalam komunikasi sosial.

Malah, kek penggunaannya non komersil kini merangkumi lebih 1 bilion pengguna Facebook dan 400 juta pengguna IG. Secara matematik, akaun komunikasi sosial kini boleh diakses secara mewah oleh 2 bilion pengguna termasuk Tweeter dan Telegram.

Di FB, ia menjadi medium komunikasi yang agresif dengan keupayaan mencetuskan Revolusi Arab Spring. Aktivis sosial Wael Ghonim hanya menggunakan post FB yang kemudian menular dan berjaya mencetuskan Revolusi Dataran Tahrir di Mesir pada 2011.

Ghonim pantas dituduh agen CIA yang diserap ke Google sebagai agen sekular Barat untuk menjatuhkan kerajaan diktator Hosni Mubarak.
Namun kisah Ghonim bukan kisah kaum desparado. Dia dianggap hero Revolusi Sekular di Mesir.

Desparado media sosial ialah sebahagian kaum self centric yang gemarkan lime light murahan. Bermula dari budaya fantasi gajet ciptaan para selebriti yang mahu kekal popular melalui aplikasi maya, pembiakan kaum desparado meluas dan berjaya membentuk budaya negara mayanya sendiri.

Posting dengan posing mendakap isteri, memegang punggung atau mendukung isteri, menyuap isteri makan, malah aksi di balik selimut ketika sekatil – kini dianggap momen bahagia yang wajar ditatap masyarakat umum.

Interpretasi bahagia dimurahkan malah dianggap sedekah untuk fakir haprak di media sosial.

Cinta dan kebahagiaan kaum desparado maya ini, bukan lagi idea untuk dinikmati dalam kehidupan privasi, tetapi perlu dijaja dan dikongsi tanpa had untuk tatapan netizen.

Ini suasana budaya pop dalam IG contohnya. Suami menyuap isteri makan, suami bukakan pintu kereta, suami hadiahkan teddy bear memenuhi seluruh katil, sampailah ke ciuman cinta di katil – dianggap posting awam dan satu perkongsian lumrah.

Persoalannya: Benarkah nilai bahagia sebenar perlu dipaparkan?

Atau sebenarnya satu implimentasi hipokrit dan natural?

Atau semakin teruk hubungan rumahtangga, jadi makin perlu dibahagiakan di IG sebagai satu eskapisme?

Logik libido (nafsu haiwan dalam diri manusia dalam teori Sigmund Freud) barangkali sumber alter ego paling prominan untuk analisis fenomena psikologi dalam kegilaan kaum desparado yang gila menunjuk-nunjukkan bahagia.

Bahawa desakan kehaiwanan tanpa sedar telah mengatasi kestabilan minda manusia dalam mengabsahkan realiti dirinya.

Hal terlalu personal, tidak wajar disensasikan kerana akal akan mengingatkan tentang dinamisme moral. Posing berpelukan atau berciuman sekali pun tanda betapa bahagianya rumahtangga, adalah entiti privasi yang tidak wajar disensasikan.

IG bagi kaum desparado kini menjadi fragment yang sangat sensasi. Malah, sensual juga. Berahi dalam hubungan pasangan seolah-olah perkongsian bermakna: Kerana dunia bagaikan sangat haprak untuk memahami erti bahagia.

Posting spesis bukan selebriti terlihat lebih murahan. Aksi suami isteri yang terdesak popular nampaknya tidak keruan dalam mentafisirkan rahsia privasi kebahagiaan.

Seorang veteran yang meraikan 44 tahun ulang tahun perkahwinan, pada pagi ini hanya sekadar menaikkan status kek dengan catatan: Berdoalah kawan-kawan moga kami kekal bahagian.

Sebaliknya, seorang isteri baru setahun dua dikahwini, dengan pos ranjang dipenuhi teddy bear hadiah hari jadi suami.

Juga posting wajah yang malu-malu menutup lehernya, serta status konon manja: Suami saya sangat nakal malam tadi.
Cinta sejati insan biasa tidak perlukan publisiti. Ia berada jauh di dalam hati. Ia kekal tanpa diusik, kerana itulah hak eksklusif pasangan tercinta.

Hanya jualan murah sahaja memerlukan iklan luar biasa!

Nampaknya kalau teori libido Sigmund Freud betul, maka banyaklah haiwan di IG.

Tapi rasanya tidak kot! – MYNEWSHUB.CC