Tragedi Basikal Lajak: Keluarga Tak Dimaklum Keputusan

“IA bukannya hanya korbankan satu atau dua nyawa tetapi lapan nyawa hilang,” kata Zulkefli Sarkam, 45, bapa kepada Allahyarham Mohamed Azree Danish, seorang daripada lapan remaja yang maut dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru pada 18 Februari 2017.

Menurutnya, dia reda dengan keputusan mahkamah tetapi sebagai bapa dan manusia biasa, dia tidak boleh mengenepikan perasaan marah dan tidak puas hati di dalam hatinya.

“Sepatutnya ada hukuman. Ini sedikit pun tiada langsung (hukuman), terus bebas. Sesiapa juga akan marah.

“Kalau ikutkan hati, memang kami tidak puas hati tetapi undang-undang sudah menentukan perkara itu.

“Inilah keputusannya dan kami terpaksa terima walaupun berat hati.

“Anak kami yang sudah tiada pun tidak dapat dikembalikan semula,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sinaran Kempas hari ini.

Menurutnya, dia sekeluarga terima keputusan mahkamah dan berterima kasih kepada semua pihak terutama pihak berkuasa yang menjalankan siasatan sepanjang dua tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, mereka sekeluarga agak kesal apabila kesemua keluarga kepada lapan mangsa itu tidak dimaklumkan mengenai keputusan di akhir pendakwaan hari ini.

Katanya, dia dan isteri, Fatimah Nasir, 45, hanya mengetahui keputusan mahkamah selepas membaca berita mengenainya menerusi Facebook (FB).

“Kami terkilan kerana tidak dimaklumkan dan hanya mengetahui keputusan sudah dijatuhkan mahkamah melalui FB kira-kira 11 pagi, kami benar-benar terkejut dan kecewa dengan perkara itu.

“Setidak-tidaknya ada waris akan dapat ke sana (mahkamah). Kami tidak dimaklumkan mengenai tarikh keputusan (hari ini).

“Saya pelik, minggu lalu kami ada hubungi peguam untuk mengetahui perkembangan tetapi dimaklumkan belum ada keputusan berhubung kejadian, malah hanya sekali saya dipanggil ke mahkamah pada tahun lalu dan itu saja prosiding mahkamah diikuti,” katanya.

Menurutnya, mereka lapan keluarga ada melantik tiga peguam untuk memantau perkembangan kes bagi pihak keluarga mangsa.

“Kelibat, ketawa riang dia (arwah) masih terngiang-ngiang, walaupun sudah dua tahun meninggalkan kami sekeluarga.

“Buat masa ini, kami berharap semua pihak mendoakan arwah anak supaya tenang di sana.

“Sebagai ahli keluarga yang melihat anak membesar dalam keadaan sihat, agak sukar menerima ahli keluarga meninggal dunia dalam sekelip mata.

“Ibaratnya, ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’ dan begitu keadaan kami sepanjang kehilangan anak kedua daripada lima beradik ini.

“Dia pergi (meninggal dunia) dengan mengejut dan bukan sakit, dia sihat tetapi tiba-tiba terus tidak ada (meninggal akibat kemalangan),” katanya yang juga pembantu gerai.

Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini, melepas dan membebaskan jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak itu.

Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu terhadap Sam Ke Ting, 24, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan dihadapinya selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan bermula Ogos 2017, 46 saksi pendakwaan dan 214 ekshibit dikemukakan di mahkamah. – myMetro Online

Loading...