Trafik Sesak Di Beberapa Lebuh Raya Utama

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melakukan sekatan jalan raya di beberapa lebuh raya utama negara, bagi mengawal pergerakan orang ramai yang cuba merentas negeri untuk menyambut Aidilfitri.

Keadaan itu menyebabkan aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara mulai perlahan sejak pagi, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, penguatkuasaan larangan rentas negeri untuk berhari raya bermula hari ini.

“PDRM melakukan sekatan jalan raya di semua lebuh raya dan laluan rentas sempadan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melalui Twitter melaporkan, trafik sesak sejauh enam kilometer dari Lembah Beringin menuju ke Tanjung Malim.

Kesesakan sama turut dilaporkan berlaku di laluan ke selatan iaitu dari pusat bandar ke Plaza Tol Sungai Besi dan Southville, Bangi ke Putra Mahkota.

Aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dari KLIA ke Bandar Serenia juga perlahan dan berlaku kesesakan sejauh 3.5 kilometer.

Selain itu, aliran trafik ke Pantai Timur berlaku kesesakan sejauh 500 meter di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong. – myMetro Online

Loading...