TPM New Zealand Lawat Malaysia

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri New Zealand, Winston Peters akan mengadakan lawatan kerja ke negara ini bermula hari ini hingga esok.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, lawatan tersebut bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia ada antara kedua-dua buah negara.

Jelasnya, Peters dijadual akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

“Lawatan ini akan membuka peluang kepada kedua-dua negara untuk meneroka dan mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada antara kedua-dua buah negara dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertahanan dan hubungan antara rakyat.

“Lanjutan daripada serangan keganasan di Christchurch pada 15 Mac lalu, kedua-dua pihak dijangka akan membincangkan usaha-usaha untuk mengukuhkan kerjasama dua hala menangani ancaman keganasan,” katanya. – K! ONLINE

Loading...