Tonton Televisyen Tingkatkan Risiko Kanser Usus

BOSTON – Perbuatan duduk dan menonton televisyen dalam tempoh lama iaitu sekurang-kurangnya sejam sehari boleh meningkatkan peratusan untuk seseorang individu menghidap kanser usus, menurut satu kajian.

Kajian itu mendakwa perbuatan itu boleh meningkatkan risiko kanser usus sehingga 12 peratus bagi tempoh sejam dan meningkat kepada 70 peratus jika duduk menonton televisyen selama dua jam ke atas, menurut laporan jurnal JNCI Cancer Spectrum.

Penemuan itu diketengahkan satu pasukan yang diketuai oleh Dr. Long Nguyen di Hospital Besar Massachusetts dan Sekolah Perubatan Harvard yang membuat analisis masa tontonan televisyen dan tingkah laku tidak aktif ke atas 89,278 responden wanita di Amerika Syarikat.

Menurut laporan, semua responden itu adalah jururawat yang berumur antara 25 dan 42 tahun. Kajian dilakukan pada awal tahun 1991. Ia adalah kali pertama tingkah laku tidak aktif dikenal pasti sebagai penyumbang kepada peningkatan mendadak kes kanser dalam kalangan penghidap berumur bawah 50 tahun.

Pada tahun 2018, terdapat sekurang-kurangnya 1.8 juta kes baharu kanser kolorektal (usus besar) dilaporkan di seluruh dunia. Seramai 881,000 penghidap mati akibat kanser itu pada tahun sama. – Agensi

Loading...