Tonton Perlawanan Bola Sepak KL2017 Dari Arafah

KUALA LUMPUR – Walaupun di Makkah perlawanan separuh akhir bola sepak Malaysia menentang Indonesia dalam temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) tetap diikuti dengan penuh semangat oleh kakitangan Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) yang dikendalikan Syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).

Kakitangan MMMSL tidak melepaskan peluang menyaksikan siaran perlawanan itu melalui komputer riba di Depoh MMMSL, Arafah.

“Kakitangan MMMSL tidak melepaskan peluang menyaksikan perlawanan separuh akhir antara pasukan Malaysia dan Indonesia di Depoh MMMSL, Arafah, Makkah,” menurut kenyataan ringkas Bahagian Perhubungan Awam RapidKL Mohd Soffian Hilmi dengan disertakan sekeping gambar melalui WhatsApp, malam ini.

“Walaupun berada jauh, kami tetap sayangkan Malaysia dan ambil tahu perkembangan Sukan SEA,” katanya.

Prasarana selaku syarikat peneraju pengurusan pengangkutan awam Malaysia memperoleh kontrak pengendalian tiga tahun pengoperasian tren MMMSL di Makkah bermula 2015, membabitkan nilai SR800 juta (RM911 juta).

Pada perlawanan bola sepak malam ini di Stadium Shah Alam, Malaysia menundukkan Indonesia 1-0 untuk bertemu Thailand pada final bola sepak temasya dwitahunan itu. – BERNAMA

Loading...