Tommy Thomas Tidak Akan Dipecat – Mahathir

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak akan sewenang-wenangnya memecat mana-mana pegawai kanan kerajaan termasuk Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas walaupun menerima desakan daripada pelbagai pihak.

Tegasnya, beliau akan bertindak sedemikian hanya apabila pegawai kanan kerajaan itu melakukan sesuatu perkara yang serius dan melampaui batas.

“Kerja saya bukan pecat orang… saya hanya akan pecat jika sesuatu yang sangat serius berlaku.

“Walaupun ada pihak meminta saya pecat orang itu, orang ini. Saya tidak akan pecat atas desakan orang lain semata-mata,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di Bangunan Putra Perdana di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan pembangkang supaya memecat Tommy yang didakwa merosakkan integriti Jabatan Peguam Negara berkaitan beberapa kes penting.

Di Parlimen hari ini, pembangkang mendesak Tun Mahathir supaya menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Tommy.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat gesaan itu berikutan tindakan Pejabat Peguam Negara menggugurkan dua pertuduhan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran berkaitan kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ismail Sabri mendakwa, Tommy dilihat kerap kali menyalahgunakan kuasanya dengan mencampur tangan beberapa kes mahkamah walaupun wujud peruntukan untuk Peguam Negara menarik balik sebarang kes.

Tommy hari ini menjelaskan keputusan pendakwaan menggugurkan dua pertuduhan tambahan terhadap Gunasekaran kerana beliau sudah pun berdepan pertuduhan yang serupa, yang jika disabit bersalah boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Semalam Mahkamah Sesyen Seremban membenarkan pembatalan dua pertuduhan terhadap Gunasekaran.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman di Seremban Jaya dan Kampung Baru Rahang di sini pada jam 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10 Oktober lalu.

Bagaimanapun Gunasekaran tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili barisan empat peguam diketuai RSN Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong.

Sebelum ini Gunasekaran yang juga Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan dituduh di Mahkamah Sesyen Melaka pada 29 Oktober kerana memberi sokongan kepada LTTE dan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Oktober lalu atas pertuduhan tambahan.

Kelmarin Mahkamah Tinggi menolak permohonan habeas corpus difailkan lima lelaki termasuk dua ADUN yang ditahan berkaitan kumpulan LTTE supaya mereka dibebaskan serta-merta daripada tahanan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh ketika membuat keputusan itu berkata permohonan dikemukakan kesemua pemohon kini bersifat akademik dan tidak relevan kerana mereka telah dituduh di mahkamah.

Loading...