Tommy Dakwa Permohonan Komital Keluarga Adib Tak Lengkap

SHAH ALAM – Peguam Negara, Tommy Thomas memberitahu bahawa permohonan komital keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim terhadapnya berhubung prosiding inkues bagi mencari punca kematian Muhammad Adib, tidak lengkap.

Peguam Kanan Persekutuan, S. Narkunavathy memberitahu, Mahkamah Koroner di sini ia kerana dakwaan keluarga anggota bomba itu bahawa afidavit Tommy yang didakwa menggangu inkues serta menghina mahkamah tidak diberikan secara terperinci.

“Pihak pemohon (keluarga Muhammad Adib) tidak memberitahu mahkamah bagaimana afidavit peguam negara yang mendakwa mangsa meninggal dunia bukan disebabkan dipukul, mengganggu inkues.

“Mereka sepatutnya memberikan maklumat terperinci berhubung pendirian mereka berkenaan afidavit peguam negara itu,” kata beliau yang mewakili Peguam Negara di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Terdahulu peguam Hanif Katri Abdulla yang mewakili keluarga Muhammad Adib mengatakan bahawa afidavit peguam negara pada 3 April lepas yang menyatakan Muhammad Adib meninggal dunia bukan disebabkan kecederaan akibat serangan, jelas menggangu prosiding inkues.

Beliau berkata, Tommy sebagai Peguam Negara tidak boleh mengeluarkan keputusan berhubung punca kematian Muhammad Adib.

“Ini adalah asas dan mahkamah perlu rujuk terhadap kenyataan yang dikeluarkan secara peribadi oleh Tommy,” katanya.

Dalam prosiding hari ini Rofiah turut menetapkan 27 Ogos ini sebagai tarikh untuk memutuskan sama ada boleh atau tidak untuk memulakan prosiding komital terhadap Tommy selepas mahkamah mendengar hujahan Haniff dan Narkunavathy.

Pada 16 Julai lepas, bapa Muhammad Adib, anggota bomba yang maut dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lalu, Mohd. Kassim Abdul Hamid, memfailkan permohonan perintah komital kepada Peguam Negara, Tommy Thomas kerana menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu dibuat melalui Tetuan Mohd. Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.