Tok Mat Tak Mahu Ahli Parti Keruhkan Suasana UMNO

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak mahu ahli-ahli mengeruhkan suasana dalam keadaan parti semakin kuat.

Beliau menyifatkan permintaan UMNO Tebrau supaya Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus bercuti atau melepaskan jawatan demi kepentingan parti adalah kurang wajar.

Beliau yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO sejak 20 Disember tahun lalu berkata, UMNO kini sudah tenang dan pemimpin di segenap peringkat sedang berusaha menyatukan padukan ahli agar parti dapat bangkit semula untuk memperkasakan UMNO.

“Sekarang ini kita semua di bulan puasa. Tumpukan kepada banyak kerja-kerja amal di kawasan masing-masing. UMNO dah tenang, cuba elakkan dari membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan suasana yang tenang ini.

“Kita (UMNO) ikutlah status quo yang ada sekarang..iaitu saya menjalankan tugas-tugas Presiden sepanjang Presiden, Datuk Seri (Ahmad Zahid) bercuti. Bukankah sudah elok begini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad menambah, bagi memastikan kelancaran gerak kerja UMNO, adalah lebih baik sekiranya ahli-ahli memberi sokongan bukannya membangkitkan desakan yang boleh mengeruhkan ketenangan parti.

Ahmad Zahid pada 18 Disember lalu mengumumkan bercuti daripada jawatan tersebut dan menyerahkan tugas kepada timbalannya, Mohamad susulan berdepan dengan pelbagai pertuduhan di mahkamah.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang berkata, parti itu kini lebih diyakini rakyat di bawah kepimpinan Mohamad. – MalaysiaGazette

Loading...