Tok Mat Hanya Bergurau Jangka Mahathir Bubar Parlimen

PONTIAN – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan beliau hanya bergurau apabila menjangkakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan membubarkan Parlimen pada awal tahun hadapan menerusi ucapannya ketika berkempen di Penerok, di sini malam tadi.

Menurutnya, keputusan pembubaran Parlimen adalah kuasa mutlak Dr. Mahathir dan beliau tiada pengetahuan terhadap perkara itu.

“Itu (bubar Parlimen) hanya gurauan sahaja. Bagaimana saya hendak tahu, itu semua keputusan PM, saya tidak tahu,” katanya kepada media selepas menyampaikan ceramah berkelompok BN di pusat daerah mengundi (PDM) Kampung Penerok, di sini malam tadi.

Mohamad turut menegaskan, perkara itu sengaja dibangkitkan untuk menimbulkan kesedaran kepada jentera pilihan raya UMNO dan BN bahawa mereka tidak boleh berasa selesa dan bersenang-lenang, sebaliknya sentiasa bersiap sedia sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan awal.

“Sekiranya PRU diadakan awal, apakah UMNO dan BN sudah bersedia? Itu yang saya hendak beritahu, jadi jangan ambil sambil lewa,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad meminta kesemua jentera UMNO tidak menganggap kolaborasi UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional menjamin kemenangan BN pada PRU15.

Menurutnya, kesemua penyokong BN mesti mempertimbangkan Sabah dan Sarawak sebagai faktor penyumbang utama untuk menang.

“Selain itu, pemilihan calon dari MCA kali menunjukkan UMNO tidak bersifat perkauman. Kita pandang gambar lebih besar yang kita tidak hanya lihat keperluan kemenangan di Parlimen Tanjung Piai.

“Kita mahu hantar mesej UMNO bukan perkauman. Apakah keputusan menyatupadukan orang Melayu dianggap rasis? Definisi rasis sudah salah kalau dianggap sedemikian,” katanya.

Loading...