Tok Mat Angkat Sumpah ADUN Rantau

SEREMBAN – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau buat kali keempat pagi ini.

Upacara itu berlangsung sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Negeri di sini hari ini.

Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menang Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 13 April lalu sekali gus mempertahankan kerusi yang disandangnya selama tiga penggal itu.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram dan dua calon Bebas, R. Malar dan Mohd Nor Yasin dengan memperoleh majoriti 4,510 undi.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) kini salah seorang daripada 16 ADUN BN dalam DUN itu, manakala PH diwakili seramai 20 ADUN.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenaan berangkat merasmikan istiadat tersebut. – K! ONLINE

Loading...