Tok Mat Akui Akar Umbi UMNO Belum Faham Piagam Muafakat

PONTIAN – UMNO mengakui Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai oleh parti itu dengan PAS masih samar-samar dalam meraih sokongan masyarakat bukan Islam dan belum difahami di peringkat akar umbi serta perlu diberi penjelasan dengan lebih teliti.

“Kita kena jelaskan supaya orang faham. Kita kena juga hantar mesej kepada rakan-rakan di Sabah dan Sarawak.

“Kerana idea penyatuan ummah tidak sesuai dan relevan di sana tetapi sesuai di Semenanjung.

“Jadi fasa pertama kepada segala penjelasan ini bermula di Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai ini yang memang medan yang sesuai untuk kita uji apa yang kita rancang selama ini,” kata Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan.

Beliau berkata penjelasan ini termasuk soal pemilihan calon MCA, Wee Jeck Seng dan bukannya calon UMNO yang berlatarbelakangkan Melayu atau PAS.

Timbalan pengerusi BN itu ditemui selepas majlis ramah mesra bersama penduduk Parit Sulaiman dekat sini sempena kempen PRK Parlimen Tanjung Piai yang masuk hari kelima hari ini.

Perjanjian kerjasama politik yang dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional dimeterai oleh UMNO dan PAS disempurnakan oleh kedua-dua presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang pada September lepas.

Ia mengundang pelbagai reaksi dari kalangan pemerhati politik yang benar-benar berminat untuk mengetahui hala tujunya memandangkan ia masih samar kerana disifatkan ‘ringkas’ dan memerlukan huraian yang lebih jelas apabila melibatkan soal agama, kaum, hal Melayu, kedudukan rakyat dan Perlembagaan.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 November ini susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang mewakili PH pada 21 September lepas.

Dalam mempertahankan kerusi Parlimen itu, PH berdepan dengan pertandingan enam penjuru menentang BN, Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua calon bebas.

Loading...