TNC USM Dipilih Tokoh Maulidur Rasul P.Pinang

BALIK PULAU – Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Abdul Rahman Mohamed telah dipilih sebagai sebagai Tokoh Maulidur Rasul Pulau Pinang sempena sambutan Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW di peringkat negeri di sini hari ini.

Abdul Rahman, 54, yang dilantik memegang jawatan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi sejak 1 Mei lepas, telah menerima anugerah itu daripada Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas.

Abdul Rahman melahirkan rasa terharu dan bersyukur dengan anugerah yang diterima dan menganggap pemilihannya akan memberikan semangat untuk beliau teruskan penyelidikan untuk masyarakat khususnya golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Inilah sebahagian cara saya untuk pulangkan kepada masyarakat sebab saya berasa sangat bertuah diberi peluang untuk belajar dan menjalankan penyelidikan bagi membantu golongan B40 untuk mengubah nasib mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Abdul Rahman merupakan seorang penyelidik dan saintis terkenal yang menerima lebih 80 geran antarabangsa bernilai lebih RM18 juta, menghasilkan pelbagai penerbitan termasuk dalam pengkalan data Scopus (Scopus bibliographic database) dan ratusan kertas penyelidikan dalam pelbagai jurnal akademik terkemuka dunia di samping mempunyai jaringan akademik profesional dari pelbagai negara dunia termasuk di Jepun dan Perancis.

Terdahulu, Tun Abdul Rahman telah merasmikan Majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Politeknik sini.

Turut hadir bersama pada majlis itu adalah Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman telah mengetuai perarakan bersama Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Farizan Darus.

Selain Abdul Rahman, turut menerima anugerah pada majlis itu ialah Datuk Dr. Mustafa Kassim bagi Anugerah Qudwatur Rasul – Pendidikan dan Khairol Fitri Kiraman bagi Anugerah Qudwatur Rasul – Kemasyarakatan.

Sementara itu, polis bantuan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Zaidi Salleh telah dikurniakan Anugerah Khas Qudwatur Rasul Khas manakala pemilik rangkaian restoran Nasi Kandar Nasmir, Datuk Kadhar Abdul Razak telah menerima Anugerah Qudwatur Rasul – Keusahawanan.

Pada masa sama, kontinjen terbaik dalam perarakan sempena Maulidur Rasul telah diberikan kontinjen daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri. – BERNAMA

Loading...