TN50 Kutip 80,000 Aspirasi Masyarakat

KUALA LUMPUR – Tahun 2017 menandakan langkah permulaan perjalanan gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50) dengan penganjuran pelbagai siri penglibatan dan aktiviti-aktiviti wacana bertujuan mencetuskan aspirasi rakyat dalam mencorak pelaksanaan gagasan itu kelak.

Pada 19 Januari lepas, perjalanan TN50 bermula dengan majlis Dialog Perdana yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) yang dihadiri lebih 1,000 generasi muda pelbagai peringkat dan latar belakang dari seluruh negara.

Pada majlis itu, perdana menteri dalam ucapannya berkata pendekatan wacana dipilih kerana beliau mahukan TN50 yang menjadi kesi­nambungan kepada dasar 30 tahun terdahulu dibina daripada visi rakyat kerana masa depan negara milik generasi muda hari ini.

“Jadi malam ini kita adakan dialog tetapi saya tidak akan buat rumusan. Sebab prosesnya perlu berjalan. Bila dah himpun segala pandangan, input dan isi hati seluruh lapisan rakyat baru kita kumpulkan dan jadikan itu sebagai visi TN50.

“Maka, malam ini perjalanan TN50 telah bermula,” kata Najib.

Selain sesi bersama golongan belia, siri dialog yang diadakan di pelbagai peringkat itu menghimpunkan golongan sasar antaranya wanita, korporat, karyawan, ulama, ahli akademik dan penjawat awam dengan mengumpul pandangan lebih 1.5 juta generasi belia Malaysia serta telah menerima lebih daripada 80,000 aspirasi masyarakat sepanjang tahun ini.

Dalam sesi dialog TN50 bersama penggiat seni pada Mei, Najib mengiktiraf penggiat seni sebagai suri teladan yang berpengaruh dalam memacu hala tuju negara dan pembentukan gagasan TN50.

Dalam Dialog Meja Bulat TN50 dengan para saintis pula, Najib berkata TN50 akan menyediakan rakyat untuk berdepan dengan Revolusi Perindustrian Keempat.

Dialog TN50 turut diadakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri, antaranya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menyaksikan pendidikan, ekonomi, institusi agama, perpaduan kaum dan ekstremis agama antara isu utama yang mendominasi sesi berkenaan.

Bagi mendalami aspirasi kanak-kanak pula, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk seri Rohani Abdul Karim menghadiri sesi bersama kira-kira 500 kanak-kanak yang antara lain memberi input supaya kerajaan memberi fokus kepada isu kesihatan mental kanak-kanak, keselamatan dan masa depan kanak-kanak kelainan upaya.

Dialog TN50 turut diadakan di luar negara termasuk di London dan Filipina diterajui Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman sebagai ketua segmen untuk mendekati dan memahami aspirasi diaspora Malaysia di luar negara.

Antara aspirasi masa depan yang dikongsi diaspora Malaysia di Filipina ialah agar kerajaan memperkukuh identiti rakyat Malaysia selain menekankan kepentingan program dan dasar kebangsaan yang inklusif dan tidak berasaskan perkauman.

Selaras dengan pendekatan dan prinsip TN50 bagi mendapatkan input rakyat secara ‘bottom up’, setiap siri dialog itu mempamerkan profesionalisme dan ketenangan perdana menteri dan anggota kabinetnya ketika mendengar pelbagai pertanyaan, idea, keluhan atau kritikan yang dilontarkan hadirin. – BERNAMA

Loading...