TMJ Kata Tiada Masalah Kena ‘Tackle’

JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi jaminan baginda akan bersikap profesional sewaktu beraksi untuk pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Malaysia bermula Mei ini.

Titah Tunku Ismail, baginda pernah dikasari dan kaki baginda ditendang oleh pemain lain sewaktu mewakili pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) satu waktu dahulu.

“Awak tanyalah kepada seluruh rakyat Johor ketika saya bermain untuk JMF dahulu berapa ramai yang telah mengasari dan menendang kaki saya.

“Saya tiada masalah. Saya ‘sporting’. Tetapi jangan lupa, saya juga boleh mengasari mereka. Haha..,” titah baginda dalam satu wawancara yang disiarkan di laman Facebook rasmi JDT hari ini.

Baca: Catat Sejarah… TMJ Bakal Jadi Pemain JDT!

Mynewshub petang ini melaporkan sejarah bakal tercipta apabila Tunku Ismail yang juga pemilik kelab bola sepak JDT akan menjadi salah seorang pemain pasukan itu sewaktu jendela perpindahan pemain dibuka Mei nanti.

Hal itu terlebih dahulu dilaporkan oleh laman Facebook JDT.

Sebilangan netizen bagaimanapun mempersoalkan sama ada pemain pasukan lain berani berhadapan dengan baginda di atas padang termasuk mengasari baginda bagi mendapatkan bola.

Tunku Ismail berkata, baginda berhasrat menjadi pemain JDT kerana ingin mencabar diri dan berkemungkinan menandatangani kontrak selama enam bulan dengan pasukannya sendiri.

“Kita tunggu dan lihatlah nanti. Jika dapat masuk bermain seminit dua sebelum perlawanan tamat pun sudah memadai. Dapat juga saya merasa memakai jersi JDT,” titah baginda.

Tunku Ismail seterusnya menyatakan baginda memiliki 42 kejuaraan Polo di seluruh dunia tetapi tidak di senaraikan untuk bermain di Sukan Sea.

“Tetapi individu yang tidak pernah menang pertandingan Polo dan tidak pandai bermain sukan Polo boleh bermain di Sukan Sea, takkan saya pula tidak boleh bermain di Liga Super?” titah baginda.

Baginda dipercayai membuat kenyataan itu bagi menyindir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang sebelum ini dilaporkan akan mewakili negara dalam Sukan Sea bagi acara polo.

Tunku Ismail sebelum ini mendakwa Menteri Belia dan Sukan memberi sokongan kepada bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu.

Tunku Ismail dan Annuar merupakan dua calon yang terpilih untuk mengisi jawatan itu. – MYNEWSHUB.CC