TMJ Bakal Beraksi Di Nou Camp

KUALA LUMPUR – Hubungan erat Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan kelab bola sepak terkemuka dunia membolehkan beliau menerima penghormatan apabila dijemput untuk menyertai perlawanan amal bersama pemain Barcelona di Nou Camp.

Menurut kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers (JST), pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menerima jemputan tersebut daripada pertahanan Barcelona, Gerard Pique.

“Pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique telah menjemput Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan wakil dari JDT untuk menyertai perlawanan amal bersama pemain Barcelona dan ‘friends and family’ Barcelona di Nou Camp pada 21 Mei ini,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini lagenda Brazil, Ronaldo tiba di Johor Bharu untuk menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara AFC antara JDT menentang kelab dari Korea Selatan, Gyeongnam FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada Mac lalu.

Pemilik kelab La Liga, Real Valladolid itu turut mengadakan pertemuan dengan Tunku Ismail Sultan.

TMJ membincangkan kemungkinan pemain muda JDT yang bercita-cita besar untuk menimba ilmu dengan skuad Real Valladolid B yang beraksi dalam saingan Segunda Division B.

Sebelum ini, seorang lagi bekas bintang Galaticos milik Real Madrid, Luis Figo pernah hadir ke Larkin untuk menyaksikan sendiri perlawanan di antara JDT menentang Perak dalam perlawanan Piala Sumbangsih Sultan Haji Ahmad Shah pada Februari lalu. – MalaysiaGazette

Loading...