Titik Panas Sah Dari Kalimantan, Sumatera

KUALA LUMPUR – Terdapat beberapa titik panas dikesan di negara jiran iaitu di selatan Kalimantan dan Sumatera.

Bagaimanapun tiada titik panas dikesan di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Jailan Simon berkata, kaedah mengesan titik panas oleh Malaysia amat tepat dan diperakui dunia.

“Jika Indonesia tak mengaku (titik panas dari negara mereka), saya tak ada komen. 

“Bagaimanapun, Malaysia mengguna pakai kedudukan dan bilangan titik panas yang dikeluarkan dan dipaparkan dalam laman web ASEAN Specialized Meteorological Centre (ASMC) yang telah dipersetujui oleh negara-negara ASEAN sebagai rujukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi di sini hari ini.

Jailan diminta mengulas mengenai pendirian Indonesia yang menafikan berlakunya jerebu rentas sempadan dari republik itu yang menjejaskan beberapa negeri di Malaysia.

Bagaimanapun Kenyataan Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan (LHK), Siti Nurbaya itu meragukan apabila sebanyak 1,278 titik panas dikesan satelit Terra/Aqua di Sumatera hari ini.

Malah, jerebu tebal itu mendorong kerajaan Jambi mengarahkan sekolah di wilayah itu ditutup selama beberapa hari, langkah yang turut diikuti daerah Pekanbaru dan Siak di Riau.

Loading...