Titah Nasihat, Keprihatinan Agong Dihargai Rakyat

PUTRAJAYA – Titah nasihat serta keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap kesejahteraan rakyat dengan sentiasa mengingatkan agar rakyat dari semasa ke semasa perlu menjaga kesihatan, keharmonian dan keselamatan ketika negara berdepan penularan pandemik COVID-19, amat dihargai rakyat sekalian.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili pihak pentadbiran dan rakyat ketika merafak sembah tahniah sempena ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka bagi tahun ini turut menzahirkan rasa bangga dan betapa beruntungnya dinaungi oleh Kebawah Duli Tuanku.

“Semestinya raja dan rakyat akrab di mata, sehati di jiwa, menjadi lambang kemegahan sebuah nusa,” katanya ketika merafak sembah tahniah itu pada istiadat menghadap dan pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan di Istana Melawati di sini hari ini.

Di dalam ucapan Muhyiddin turut menyelitkan pantun: 

Istana Negara tempatnya tenang,

Tuanku bersemayam di singgahsana,

Walau apa dugaan mendatang,

Raja dan rakyat berpisah tiada.

Ampun Tuanku Seri Paduka,

Sembah takzim menjunjung tinggi,

Semoga karar di atas takhta,

Doa rakyat setulus hati.

Muhyiddin dalam ucapannya turut menitipkan doa semoga Allah S.W.T mengurniakan kesihatan yang baik dan melanjutkan usia Seri Paduka serta Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Sesungguhnya rakyat keseluruhannya menyanjung tinggi dan menyayangi Ke bawah Duli Tuanku berdua,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau dan anggota pentadbiran kerajaan menjunjung kasih terhadap Seri Paduka kerana kesudian berangkat untuk bertitah di Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 pada 18 Mei lepas, ketika negara masih berdepan dengan wabak COVID-19. – BERNAMA

Loading...