Tingkat Gaji Minimum Penjawat Awam Kepada RM1,800

SHAH ALAM – Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat mencadangkan agar kerajaan meningkatkan gaji minima penjawat awam sekurang-kurangnya RM1,800 sebulan.

Menurutnya, gaji minimum sebanyak RM1,200 yang ditetapkan oleh kerajaan kepada penjawat awam sejak 2016 dilihat terlalu jauh dengan keputusan kajian yang dibuat oleh beberapa pihak sebelum ini termasuk Bank Negara sendiri.

“Contohnya Bank Negara sendiri telah menetapkan gaji minimum yang paling sesuai untuk seorang penjawat awam menikmati kemudahan, keselesaan dalam memberi pendidikan kepada anak-anak, memiliki sebuah rumah, pengangkutan dan sebagainya adalah sebanyak RM2,700.

“Begitu juga kajian dilakukan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Universiti Malaya mendapati gaji minimum adalah RM2,480. Malah Cuepacs sendiri turut membuat kajian dan mendapati gaji minimum penjawat adalah sebanyak RM2,620,” katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Harian Siri Ke-149 bertajuk Perkhidmatan Awam: Beban Tugas VS Pendapatan di Dewan Karangkraf, Seksyen 15 di sini malam tadi.

Wacana itu turut menampilkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Zubaidi Ahmad.

Dalam pada itu, Adnan berkata, walaupun itu adalah pendapatan yang perlu ada pada penjawat awam ketika ini, namun ia bukan sesuatu yang terdesak.

Katanya, Cuepacs memahami situasi dan kekangan dihadapi kerajaan ketika ini, bagaimanapun ia perlu dijadikan sebagai penanda aras untuk dicapai menjelang status negara maju 2030 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Ini bermakna, kerajaan perlu menetapkan supaya gaji minimum ini ditingkatkan bagi kesejahteraan penjawat awam pada masa hadapan,“ ujarnya. – Sinar Harian

Loading...