Tindakan Naik Kompaun Ingkar SOP Wajar – KPN

KUALA LUMPUR – Tindakan menaikkan jumlah kompaun hingga RM10,000 terhadap individu manakala RM50,000 ke atas syarikat atau pertubuhan yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 adalah wajar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, dengan kadar kompaun baharu itu, ia akan meningkatkan pematuhan orang awam terhadap SOP dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19.

“Individu yang berulang kali melanggar SOP berkenaan perlu mengambil serius isu kompaun baharu ini.

“Penganjur himpunan atau perjumpaan sosial secara haram dan pemilik premis hiburan yang secara terbuka melanggar SOP itu juga perlu takut dengan kadar maksimum kompaun itu,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa tegas dalam menguatkuasakan undang-undang.

Tegasnya, tempoh untuk memberi amaran dan nasihat untuk mereka yang melanggar SOP sudah berakhir.

“Tindakan lebih tegas ini menunjukkan polis serius dalam usaha membendung penularan jangkitan berkenaan. Orang awam juga perlu mainkan peranan dengan patuh kepada SOP sedia ada,” katanya.

Media melaporkan individu yang melanggar peraturan atau SOP ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 akan berdepan kompaun sehingga maksimum RM10,000.

Syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama pula boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000.

Ketika ini, individu dan syarikat yang melakukan kesalahan itu hanya dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Kadar kompaun baharu itu akan berkuat kuasa mulai 11 Mac ini mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan pada Khamis.

Kadar kompaun terbabit dinaikkan susulan penggantian Seksyen 25 yang memberi kuasa kepada ketua pengarah kesihatan atau mana-mana pegawai kesihatan yang diberi kuasa oleh pendakwa raya. – Sinar Harian