Timbalan Pengarah Kanan DBKL, 4 Orang Awam Direman

PUTRAJAYA – Seorang Timbalan Pengarah Kanan sebuah jabatan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan empat orang awam direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes menerima dan memberi wang rasuah bernilai RM200,000.

Perintah reman sehingga Isnin depan itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini, hari ini.

Terdahulu, SPRM telah menahan kesemua suspek yang berusia antara 41 hingga 57 tahun itu di sebuah restoran di sekitar Kuala Lumpur kira-kira pukul 12 hingga 12.30 tengah malam tadi.

Menurut sumber, berdasarkan siasatan awal, timbalan pengarah kanan itu secara rasuah menerima wang berjumlah RM200,000 daripada kontraktor-kontraktor sebagai balasan memberikan kerja-kerja penambahbaikan infrastuktur di bawah seliaannya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan, Datuk Seri Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 kerana memberi dan menerima suapan – K! ONLINE