Timbalan Pendaftar, Pensyarah, Pengarah Direman 5 Hari

JOHOR BAHRU – Seorang timbalan pendaftar universiti awam, pensyarah kolej komuniti dan pengarah syarikat direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes membuat tuntutan palsu.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Faridatul Farrah Mohd Shukri.

Tempoh reman itu dibenarkan mahkamah bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas tiga suspek berusia 40-an hingga 50-an.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menahan semua suspek kira-kira jam 2.30 petang di Pejabat SPRM Johor.

Mereka disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah universiti awam berkaitan perbelanjaan program Dana Kebolehpasaran Graduan (GE) berjumlah RM689,000, sedangkan program terbabit tidak dilaksanakan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara sehingga 20 tahun. – BH Online

Loading...