Tikus Australia Haiwan Pertama Pupus Akibat Manusia

SYDNEY – Australia secara rasmi mengisytiharkan bahawa tikus Terumbu Karang Besar pupus semalam, menjadikan mamalia itu yang pertama terhapus akibat perubahan iklim disebabkan oleh manusia.

Tikus spesies Melomys rubicola itu hidup di sebuah pulau berpasir di utara Australia dan tidak pernah dijumpai sejak sedekad lalu.

Beberapa penyelidik dari Queensland mendapati kepupusan tikus Melomys rubicola berpunca daripada pulau itu berulang kali digenangi air laut sejak sedekad lalu, mengakibatkan habitatnya musnah.

Kementerian Alam Sekitar Australia menyatakan semalam bahawa pihaknya secara rasmi memindahkan haiwan itu ke dalam ‘senarai kepupusan’.

Deklarasi tersebut sememang­nya dijangka. Ia berikutan usaha pasukan-pasukan penyelidik dari Queensland untuk mencari spesies tersebut pada tahun 2014 berakhir dengan kegagalan.

Tikus itu pertama kali ditemui pada tahun 1845 oleh peneroka-peneroka Eropah yang menembak ‘tikus besar’ sebagai aktiviti sukan. – Agensi

Loading...