Aplikasi TikTok Tidak Sesuai Bagi Remaja

RISIKO… Berjuta-juta remaja di seluruh dunia kini gemar guna aplikasi TikTok, semata-mata untuk merakam diri mereka melakukan sesuatu sepanjang 15 saat.

Namun, ramai ibu bapa baru sahaja ‘bertapak’ untuk guna aplikasi tersebut. Apa yang pasti, golongan ibu bapa sering kali ‘terkejut’ apabila mula cuba ‘teroka’ aplikasi tersebut.

Menerusi aplikasi itulah, pengguna bebas mengekspresikan diri menerusi video pendek. Rangkaian sosial itu jadi aplikasi yang paling banyak dimuat turun melalui App Store (Apple).

Ia dicatat dalam tempoh enam bulan pertama 2018, menurut syarikat analisis pasaran, Sensor Tower. Ini bermakna, aplikasi itu sebenarnya lebih popular berbanding Facebook, Instagram dan Snapchat.

Laman milik syarikat China, ByteDance, dilaporkan mempunyai 500 juta pengguna setakat Jun lalu selepas ia ambil alih Musical.ly pada tahun 2017 dan meluaskan jangkauannya di Amerika Syarikat.

Namun, para pengkritik menyatakan bahawa aplikasi itu mendedahkan para pengguna kepada komen yang mampu jejas diri mereka, terutama sekali para pengguna wanita yang masih muda.

Bukan itu sahaja, aplikasi tersebut sebenarnya boleh juga dijadikan sebagai wadah terbaik bagi penjenayah tertentu untuk cari mangsa serangan seksual.

Aplikasi itu menjanjikan para penggunanya dengan kandungan yang “tidak disunting, nyata dan tanpa batasan” serta mendakwa bahawa ia sesuai bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas.

Terdapat banyak kes dilaporkan pihak media yang mana pengguna berasa terganggu dengan komen diterima. Ada juga pengguna yang diminta beri butiran peribadi atau memuat naik gambar provokatif.

Sebelum ini, Indonesia turut haram aplikasi itu selepas lebih 170,000 orang menandatangani petisyen yang dakwa aplikasi itu tidak sesuai bagi kanak-kanak kerana ajak memuat naik video dalam pakaian terdedah.

Larangan itu hanya dimansuhkan selepas wakil-wakil dari China mengadakan lawatan ke Jakarta dan berjanji akan menggajikan lebih ramai kakitangan untuk menapis kandungan-kandungan tidak sesuai.

Kesan pendedahan awal kepada media sosial adalah sesuatu yang sangat baru sehingga “ibu bapa, pendidik, dan doktor juga… mungkin kurang tahu atau tidak tahu sama sekali tentang perlunya bimbing generasi muda.

“Ia berkaitan tentang bahaya teknologi-teknologi baharu ini,” kata seorang pakar, Brian Solis dari syarikat penasihat teknologi Amerika Syarikat, Altimeter. – AFP

Loading...