Tiga Maut Letupan Kilang Di Rawang

RAWANG – Seorang pemilik kilang kejuruteraan elektrik dan dua pekerja termasuk seorang warga Bangladesh maut apabila mesin bekalan kuasa yang dikatakan di peringkat akhir ujian, meletup di kilang berkenaan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Samsor Maarof berkata ketiga-tiga lelaki berusia 50-an meninggal dunia di tempat kejadian.

Selain warga Bangladesh, dua yang terkorban dalam kejadian 11 pagi itu merupakan rakyat tempatan manakala sorang pekerja warga Bangladesh cedera.

“Difahamkan mesin berkenaan telah dicuba beberapa kali sebelum ini dan ini adalah ‘ujian terakhir’. Tiada unsur jenayah dalam kejadian ini,” kata Samsor kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata bahagian dalam dan bumbung kilang berkenaan rosak teruk akibat serpihan besi berterbangan sehingga sejauh 100 meter akibat letupan itu.

“Kilang ini mempunyai lesen sah serta telah beroperasi sejak tiga tahun lalu,” kata Samsor.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang, Yazli Yahya berkata lapan anggota dan seorang pegawai dari balai bomba berkenaan bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 11 pagi.

Seorang pekerja kilang bersebelahan yang hanya ingin dikenali sebagai Azimah, berkata beliau tidak menyangka bunyi bising yang didengarnya adalah bunyi letupan.

“Saya dengar bunyi kuat dan bunyi besi jatuh, ingatkan budak-budak main lempar besi namun tak sangka ada letupan mesin,” kata wanita itu.

Kesemua mangsa yang maut dan cedera di bawa ke Hospital Sungai Buloh. Nama mereka masih belum dikeluarkan oleh pihak polis. – BERNAMA

Loading...