Tiga Anugerah Bakar Semangat Safawi Bantu Negara

KUALA LUMPUR – Tiga anugerah dimenangi Muhammad Safawi Rasid pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018, malam ini, membakar semangatnya…

KUALA LUMPUR – Tiga anugerah dimenangi Muhammad Safawi Rasid pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018, malam ini, membakar semangatnya untuk membantu skuad Harimau Malaya mencatat keputusan positif pada Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), bermula Ahad ini.

Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui beliau tidak menyangka akan memenangi anugerah pemain paling bernilai, pemain tengah terbaik dan pemain muda harapan memandangkan dua calon lain dalam ketiga-tiga kategori berkenaan turut mempunyai kelebihan untuk memenangi anugerah berkenaan.

“Saya ingin berterima kasih kepada penyokong JDT, media, ketua jurulatih dan ketua pasukan (Liga Malaysia) yang memilih saya untuk memenangi anugerah pemain paling bernilai… terima kasih juga kepada ibu bapa saya dan (pemilik JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Bagi saya, kejayaan ini memberi lebih semangat kepada saya untuk memburu tempat dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan pada Piala AFF nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, malam ini.

Pada masa sama, Muhammad Safawi menyifatkan tiga anugerah berkenaan menjadi motivasi terbaik untuk dirinya dalam terus membantu JDT mencapai kecemerlangan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018 menentang Kemboja di Stadium Olimpik Kemboja, Phnom Penh, Ahad ini. – BERNAMA