Tidak Perlu Peruntukan Sama Kepada Pembangkang

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat tiada keperluan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi peruntukan yang sama…

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat tiada keperluan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi peruntukan yang sama kepada ahli Parlimen pembangkang.

Ini kerana katanya perkara sama juga turut berlaku semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Malah katanya, kepemimpinan lalu turut cuba memadamkan sejarah beliau kepada negara.

“Lihat balik amalan yang dilaksanakan oleh kerajaan BN terdahulu.

“Malah, kalau boleh mereka cuba memadamkan saya daripada sejarah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di lobi Parlimen, Khamis.

Perkara berkenaan peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang dibangkitkan oleh ahli Parlimen PH Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Beliau ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2018 menggesa kerajaan supaya memberi peruntukan sama kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang.

“Pertama, bukan saja soal janji dalam manifesto tetapi bawah Perlembagaan Persekutuan juga, mesti bersifat adil.

“Jadi saya rasa, pohon kepada kerajaan, timbang peruntukan yang adil kepada semua Ahli Parlimen,” katanya.

Di dalam manifesto PH ada menyebut berhubung pembiayaan kepada wakil rakyat iaitu, ‘Pembiayaan berdasarkan formula yang telus akan diberikan kepada semua Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan mereka menjalankan tugas dan mengurus pusat khidmat masing-masing’. – Agenda News